Monday, June 6, 2011

Hidup.

Saat bayi kecil itu membuka matanya, sudah ditakdirkan apa yang bakal terjadi padanya. Ya, tidak kira apa-apa pun, sedangkan Rasulullah kekasih Allah itu juga mempunyai cabaran sepanjang perjalanan hidup baginda, apatah lagi kita. Kita yang hanyalah hamba Allah yang tidak punya apa-apa melainkan berkat hidup daripadaNya. Pasti dan sentiasa ada saja masalah yang menimpa.


Masalah hidup. Sinonim dengan dugaan, cabaran serta ujian hidup. Manusia bahagia, gembira, suka dan ceria. Tapi tidak lengkap kehidupan tanpa derita, merana, hampa dan kecewa. Kalau anda perasan, istilah untuk kesedihan lebih banyak berbanding yang lebih elok. Ya, masalah sentiasa datang. Tapi kenapa harus lari dari masalah? Kenapa harus menipu untuk menutup dan menyembunyikan masalah? Apakah sukar manusia masa kini untuk jujur? Hanya Allah dan mereka yang menghadapinya saja tahu.


Remaja. Tidak pernah ada dalam sejarah, malah mana-mana sumber pun mengatakan seorang remaja itu tidak pernah menghadapi masalah. Meskipun dia seorang yang cukup sempurna hidupnya. Kemewahan, kekayaan, pendidikan dan segalanya.. dia masih menghadapi masalah. Tetapi bagi dia seorang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak pula mustahil untuk dia merasa gembira dan bahagia. Dia semestinya mempunyai banyak masalah, tetapi masih gembira, mensyukuri dengan apa adanya.


Allah Maha Adil. Ya, terbukti. Allah tidak pernah menimpakan sesuatu ujian itu kepada hambaNya sekiranya ujian itu tidak dapat dihadapi oleh hambanya. Allah mengetahui segalanya, usah ragu pada sifat sempurnaNya. Mengapa kita harus meragukan? Kita manusia, mencipta robot yang tidak pernah meragui penciptanya, tetapi mengapa kita meragui pencipta kita? Manusia.


Ketahuilah setiap apa yang Allah turunkan pada kita, sentiasa ada hikmahnya. Semua hikmah yang ada pun semuanya baik, malah lebih baik. Sewaktu ditimpa kesusahan, terasa dekat hati kita kepada Allah untuk meminta pertolongan. Itulah sebabnya. Allah bantu diri yang lemah ini, hati yang rapuh supaya lebih dekat kepadaNya. Patutnya ada rasa bangga terhadap diri sendiri, mengapa? Allah memilih kita, memilih kita untuk menhadapi ujian itu. Betapa istimewanya hadiah Tuhan kepada hambaNya. Kerana Dia amat menyayangi kita, Dia takdirkan kita untuk sentiasa mendekatiNya. Kita mungkin meminta sesuatu yang baik terhadapNya. Lalu, Dia memberi kita sesuatu yang kita rasakan susah, bukan seperti apa yang diimpikan. Kita pun menghadapinya dengan tabah, adakalanya mengeluh tanpa disedari. Sentiasa meminta pertolonganNya dan bila suatu hari kita mendapat sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kita impikan hasil ketabahan kita menghadapi ujianNya. Betapa Allah amat menyayangi hambanya.



Kesyukuran dan sifat berterima kasih yang menjadi inspirasi untuk kita terus bersemangat menjalani kehidupan yang penuh rintangan ini. Rasanya, lengkaplah hidup dengan adanya penderitaan kemudian datangnya pula kebahagiaan sebagai ganjaran, bukan? Jika mahu mendapatkan sesuatu yang baik, hadapi segalanya dengan redha, tapi jangan lupa untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Yang Maha Agung, manalah tahu, kita mendapat sesuatu yang lebih baik dari apa yang disangkakan :)